wbc headline

wbc headline

Thursday 12 September 2013

Remaja WBC terpilih sertai skuad Sukan Borneo 2013

Pemain Remaja WBC bersama Jurulatih & Presiden WBC Hj Johari Achee
BANDAR SERI BEGAWAN. 5 pemain remaja Kelab Boling Padang Wisdom WBC telah terpilih untuk menyertai kontinjen Brunei ke temasya Sukan Borneo 2013 yang akan berlangsung di Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia. Sukan Borneo 2013 kali ini akan bermula pada 15hb September 2013 dan akan berakhir pada 21hb September 2013. kelima-lima pemain remaja WBC itu akan bertanding dalam acara sukan boling padang yang akan diadakan di Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan. Penyertaan di kejohanan kali ini adalah merupakn penyertaan sulung mereka bersama kontinjen Negara Brunei Darussalam untuk menjulang nama negara di persada sukan peringkat seborneo. Kelima-lima pemain remaja tersebut ialah, Muhd Arrif Hj Amli selaku ketua pasukan, Muhd Halifi Hj Amli, Mohd Wa'ie Badi'uzzaman Ahmad, Ak Md Wazien Pg Jamaludin dan Muhd Wafi Ramlee. Kesemua mereka adalah pemain yang berkelayakan dari segi ketetapan peringkat had umur yang telah ditetapkan oleh tuan rumah Wilayah Persekutuan Labuan. Mereka akan membawa cabaran negara dengan bimbingan Jurulatih, Hj Abd Ghafar POKL DSS HJ Mohd Taha yang mensasarkan kutipan pingat untuk acara boling padang. Bersandarkan kepada prestasi semasa para pemain terlibat, peluang untuk negara meraih pingat adalah cerah sekalipun warna pingat belum dapat dipastikan. Pencabar utama Brunei di acara boling padang ini nanti setentunya dari pemain tuan rumah, Labuan selain Sarawak dan Sabah yang dilihat berpotensi untuk memberikan saingan sengit. Kontinjen Brunei akan berlepas meninggalkan negara pada Hari Jumaat, 13hb September 2013.

Thursday 5 September 2013

WBC Brunei raih slot lapan terbaik


Pemain WBC bersama Trofi kemenangan

WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN, Malaysia 30 Ogos – Kejohanan Boling Mixed Fours Antarabangsa Terbuka Labuan sempena hari kemerdekaan Malaysia 2013 melabuhkan tirainya hari ini dengan menyaksikan dua wakil Kelab Boling Padang Wisdom Negara Brunei Darussalam menamatkan saingan kejohanan dengan hanya sekadar sampai ke peringkat suku akhir. WBC ‘A’ mara ke perlawanan suku akhir selepas menyingkirkan pasukan Terengganu ‘A’ 17-7. Manakala WBC ‘B’ menundukkan Terengganu ‘B’ dengan kemenangan tipis 12-11 untuk melangkah ke suku akhir. Dalam perlawanan suku akhir, kedua-dua wakil kelab dari Brunei Darussalam itu berdepan tugas getir apabila terpaksa berhadapan dua pasukan pilihan kejohanan tersebut. WBC ‘A’ gagal melangkah ke separuh akhir apabila tewas di tangan pasukan dari Semenanjung Malaysia iaitu DBKL yang dibarisi para pemain pelapis kebangsaan Malaysia dengan keputusan 6-13. Manakala pasukan WBC ‘B’ pula turut terkandas apabila tewas di tangan pasukan Victoria Labuan dengan kiraan 16-12 sekali gus menamatkan perjuangan mereka untuk meraih pingat lapan terbaik selain membawa pulang hadiah wang tunai RM1,400.00. Para pemain remaja yang mewakili kelab dari Brunei itu turut berharap akan menggunakan pengalaman yang mereka peroleh ini untuk dijadikan bekalan jika diberi peluang untuk mewakili negara ke temasya Sukan Borneo 2013 yang akan berlangsung di Wilayah Persekutuan Labuan pertengahan September ini. Di kejohanan kali ini, pasukan Sukma ‘A’ dari Labuan muncul juara selepas menewaskan Red Zones Labuan pada perlawanan akhir. Manakala pasukan DBKL & Victoria Labuan pula berkongsi kedudukan di tempat ketiga.